Salam
Tahun Baru. Semoga tahun lalu memberi
impak besar dalam kehidupan kita. Impaknya di samping memberi kita kesihatan
tubuh badan, akal yang cerdas dan senentiasa dalam pengawasan daripada Allah
s.w.t.. Perubahan penting ialah amalan baik kita semakin meningkat; amalan
kehidupan kita berpaksikan agama, tindak tanduk kita berdasarkan al-Quran,
perancangan kita menurut takwim tepat dan perkara-perkara tersebut membantu
kita untuk berhadapan pada saat-saat getir. Masa kita terlalu singkat dan
menjarakkan kehidupan dunia kita dari semasa ke semasa.
Kita
berharap tahun ini lebih baik daripada tahun lalu. Harapan kita bersebab kerana
semakin kita hampir mendekati hari-hari yang mendatang maka kerinduaan kita
berjumpa Rasulullah s.a.w. semakin membara. Ibarat seorang suami merindui
isterinya atau seorang isteri menanti kepulangan suaminya. Perjalanannya
panjang tetapi masanya dekat. Dekatnya seperti kita berdiri di depan pintu
rumah.
Oleh
itu, sempena tahun baru marilah kita mengingati bagaimana Rasululah s.a.w.
diperintah oleh Allah s.w.t. melaksanakan kewajiban-kewajiban syariat Islam,
antaranya; mendirikan salat, mengeluarkan zakat, berpuasa, mengerjakan haji,
mengkanunkan syariah, tilawah Quran, zikrullah, uzlah, kalwat dan seumpamanya.
Melalui
pengukuhan iman dan keyakinan pula dengan penetapan akal dan naluri perasaan
diteguhkan dengan penurunan Al-Quran berperingkat-peringkat dan diperjelaskan
oleh Nabi s.a.w. tentang asbab nuzulnya sesuatu peristiwa dan kaitannya dengan
ayat-ayat tersebut. Pertautkaitan al-Quran dan penjelasan Nabi s.a.w.
mengukuhkan kefahaman keyakinan mereka. Ia menambahkan ketakwaan dan penerimaan
Islam yang jelas, tepat dan benar.
Nabi
mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah s.w.t., melaksanakan perintah Allah
s.w.t., menguatkan jiwa dengan ketakwaan, keikhlasan, ketekunan supaya sifat
keduniaan tidak sebati berpadu dengan darah, jiwa dan akal manusia. Kesannya
amat dahsyat jika ianya terjadi. Kesesatan akan dijadikan suatu yang benar dan
kebenaran pula akan diletakkan sebagai suatu yang dangkal. Kesesatan mudah
dilakukan tetapi kebenaran berat ditegakkan. Maka berlakulah pertembungan di
antara kesesatan dan kebenaran. Antara yang hak dan batil.
Para
sahabat Nabi s.a.w. tidak pernah merancang, berpakat, merencana, berhimpun
untuk tujuan menghiburkan hati mereka dan untuk kepentingan perut-perut mereka.
Tetapi mereka berhimpun untuk memikirkan agama Islam, umat Islam dan kaum-kaum
yang masih dalam kesesatan. Mereka yakin dengan agama Islam sebagaimana mereka
yakin dengan kehidupan di dunia ini. Keyakin mereka bulat, seratus peratus.
Masa
mereka dimanfaatkan dengan dakwah. Kehidupan mereka dipenuhi dengan keyakinan
yang bersinar cemerlang. Mereka memiliki keazaman kukuh untuk mencapai sesuatu
impian, cita-cita mereka melangit yang sukar dicapai oleh manusia biasa tetapi
mudah bagi mereka mencapainya, pesanan Rasulullah s.a.w. suatu ikrar yang mesti
dilaksanakan sama ada semasa bersama hayat Baginda s.a.w atau selepas
ketiadaannya, mereka berpegang teguh dengan agama Islam sebagaimana mereka
menggenggam bara api. Mereka tidak pernah takut dengan ugutan, provokasi,
ucapan ancaman dan tindakan golongan sesat. Perkara ini menjadikan mereka sukar dikalahkan oleh musuh-musuh
mereka.
Perumpamaan
kehidupan yang tidak dibajai oleh ajaran tauhid seperti tumbuh-tumbuhan tidak
menerima air, hujan atau embun. Ia akan musnah kerana kehidupannya tidak
dilengkapi oleh unsur-unsur pertumbuhan yang baik. Pertumbuhan dan arah
pucuknya akan terpesong, melelong, membengkok ke sana sini. Akhirnya batangnya
melingkuk, dahannya bercabang; menegak, menyenget, melintang dan melemahkan
daya ketahanannya. Pokok tumpang mulai menapak, mengukuhkan perumahnya dan
mereputkan sendi-sendi pokok asal. Kematian dan kereputannya tidak dipedulikan
oleh makhluk kecuali melalui pengawasan tuannya.
Demikaian
juga pesakit barah, tuan atau puan punya diri tidak menyedari bahawa terdapat
simptom-simpton penyakit sedang bertapak di badannya. Ia tidak melakukan
pengawasan, merawatnya dengan segera, membiarkannya kerana tiada gejala-gejala
dan tanda-tanda yang memudharatkan, tiada tindakbalas negatif, maka kelalaian
telah bertapak dibenaknya. Akhirnya,
bila barah tersebut berada pada tahap yang parah-kritikal dan sukar
dirawat baharulah ia sedar betapa pentingnya kesihatan. Betapa pentingnya
langkah-langkah pengawasan awal dan perubatan susulan supaya penyakit tersebut
dapat dipantau oleh pakar. Di samping itu penyaki-penyakit sampingan juga dapat
dikesan lebih awal jika tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.
Allah
memberi kita akal geliga, mata hati yang terang, tubuh badan sihat, lidah yang
fasih dan tingkah laku yang baik sepatutnya digunakan memikir tentang
kejadian-kejadian ciptaan Allah s.w.t., melihat dan memerhati alam sebagai
tanda-tanda kebenaran dan kebesaran Allah s.w.t. dengan keyakinan jelas tepat,
benar bahawa manusia dilahirkan di dunia ini bukan sia-sia. Mereka mempunyai
wawasan yang jelas, misi dan visi yang tepat dan halangan-halangan yang
mendatang mudah di atasi kerana mereka wujud bukan untuk makan dan berseronok
semata-mata tetapi berusaha mengenali pencipta alam ini terutamanya kejadiaan
diri kita sendiri. Beruntunglah manusia yang memahami kejadiannya. ALLAHU
aKHBAR.
Salam
Muharam 1435H
Yang
dekat kita rapat-rapatkan
manakala
yang jauh kita dekatkan